TERKINI:
Loading...

Friday, January 29, 2010

Kenapa Nasyid? [Bahagian 6]

oleh:Mzfaizal.org

PANDUAN MEMILIH LAGU SEBAGAI NASYID

Dalam memilih pandangan ulama bagi menetapkan batas-batas minimum keharusan muzik, lagu dan nyanyian dalam Islam, dasar-dasar berikut dijadikan asas.

  • Mengiktiraf bahawa ini adalah persoalan yang dikhilafkan ulama.
  • Memilih pandangan ulama yang muktabar dari segi kemampuan ijtihadnya dan kekuatan tsiqah (kredibiliti) di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah walaupun pandangan itu bukan pandangan yang dipegang majoriti ulama atau bukan pandangan yang popular.
  • Mengambil kira sasaran utama projek ini ialah masyarakat awam secara umum tanpa kira agama dan bangsa.
  • Membezakan antara persoalan mubah, wara’ dan afdal.
  • Asal hukum bagi segala perkara yang bukan berkaitan dengan ibadat khusus dan akidah adalah halal kecuali ada dalil yang mengharamkannya.
  • Sebagaimana niat yang baik tidak menghalalkan cara, cara yang baik juga perlu diikuti dengan niat yang betul dan ikhlas.
  • Hiburan adalah harus dalam Islam. Ini didasarkan pada hadis Ai syah yang mendengar nyanyian dua gadis di rumah Rasulullah saw; perbuatan para sahabat yang bernasyid semasa mengorek parit pertahanan Madinah dan perbuatan Rasulullah yang membawa Aisyah melihat tarian hamba Habsyi.
  • Hiburan hendaklah dijadikan sebagai alat bukan matlamat. Hiburan adalah alat untuk mendidik, merehatkan diri, membina silaturahim dan lain-lain yang harus dan dianjurkan Islam. Ini adalah kerana matlamat hidup manusia ialah untuk mengabdi kepada Ilahi saja dan bukan untuk mempertuhankan hiburan.
  • Muzik, lagu dan nyanyian adalah harus dalam Islam, namun tertakluk juga kepada dasar-dasar hiburan yang dinyatakan di atas.

BATAS MINIMUM

Berdasarkan perkara di atas, dicadangkan dasar dan batas minimum berikut bagi menentukan muzik dan lagu ‘halal’ bagi masyarakat awam.

  • Hiburan tidak boleh mengandungi apa yang diharamkan Allah swt atau menjurus kepada yang haram seperti memuja wanita, mendedah aurat, menggalakkan pergaulan bebas, mengandungi kekata yang membawa kekufuran seperti memuja syaitan, mempropagandakan kepercayaan agama lain, memuja dadah dan arak, mengandungi khayalan yang tidak bermanfaat seperti khayalan cinta, menghina amalan Islam dan memfitnah orang.
  • Hiburan dipersembahkan dengan menepati adab-adab yang telah ditetapkan Islam.
  • Hiburan hendaklah tidak menyebabkan pengabaian sesuatu yang lebih penting berdasarkan prinsip penentuan keutamaan dalam Islam seperti berhibur hingga terlupa bersolat dan terlalu tenggelam mendengar muzik sehingga tidak membaca Al-Quran.
  • Hiburan bukanlah alternatif kepada amalan ibadat khusus tetapi pendorong padanya.
  • Hiburan hendaklah menjauhi daripada unsur menyerupai penganut agama lain atau golongan yang berakhlak rendah. Contohnya adalah berambut panjang. Walaupun tiada dalil khusus melarang orang lelaki berambut panjang, oleh kerana ia telah menjadi simbol kepada budaya tertentu yang tidak disukai Islam, maka ia perlu ditinggalkan.
  • Semua alat muzik adalah harus kecuali ia digunakan untuk sesuatu yang haram atau menjurus pada yang haram atau sebab-sebab sampingan lain yang diharamkan. Ini berdasarkan pada pandangan Ibn Hazm yang berpendapat bahawa dalil-dalil mengenai pengharaman alat-alat bertali dan tiupan adalah lemah.
  • Tertakluk pada dasar-dasar hiburan, nyanyian oleh wanita adalah harus. Ini berdasarkan pada pendapat bahawa suara wanita bukan aurat.
  • Penyanyi wanita hendaklah menjaga batas-batas hijab atau tidak berjoget atau berlenggang lenggok secara mengghairahkan.
  • Hukum nyanyian dan lagu juga berkaitan dengan konteks ia disampaikan. Lagu bertemakan cinta, jika dinyanyikan untuk memuja wanita dan berkhayal, membawa kepada haram tetapi jika ia dinyanyikan untuk isteri atau suami bagi mengeratkan lagi kasih sayang, maka ia dibenarkan. Ini termasuk di bawah kaedah Al-Umur Bi Maqasidiha (hukum bagi sesuatu perkara berdasarkan niat dan tujuan).
  • Begitu juga lagu yang bersifat abstrak atau kiasan, keharusannya bergantung pada bagaimana ia ditafsirkan. Sekiranya pentafsirannya menjurus pada haram maka ia menjadi haram dan sebaliknya.

KESIMPULAN

Apa yang dinyatakan bukanlah satu fatwa tetapi bukan juga satu perkara baru. Semuanya telah dihuraikan ulama besar sejak dulu lagi.Pelaksanaan strategi ini sebenarnya akan mengundang kritikan dan kontroversi. Melaksanakannya sebenarnya menuntut keberanian dan kecekalan.

Mungkin dalam memulakannya kita akan tersilap. Namun kita harus berani menghadapi risiko atau langkah kita dalam bidang ini tidak akan ke mana. Manusia yang melakukan kesilapan tidak tercela. Ia hanya tercela jika tidak mengakui dan kembali kepada kesilapannya. Cara mudah untuk tidak melakukan kesilapan adalah dengan tidak melakukan apa-apa. Namun apa pula jawapan kita kepada masalah hiburan dan keperluan naluri manusia dalam hal ini?

ikuti juga: 

Read more

Thursday, January 28, 2010

Kenapa Nasyid? [Bahagian 5]

oleh: Mzfaizal.org

MEMPOPULARKAN NASYID

Menghukum muzik hari ini sebagai haram secara umum sahaja tidak memadai kerana hakikatnya naluri manusia secara semula jadi memerlukan hiburan jua. Persoalan lebih penting adalah apakah alternatif bagi muzik popular hari ini yang banyak memaparkan konsep hedonisme dan hiburan yang melampau mempromosi gaya hidup yang tidak ketentuan ?
Jika alternatif sedemikian wujud, bagaimana ia dapat dimasyarakatkan kepada manusia umumnya - merentas batas bangsa, geografi, agama dan budaya. Merentas batas-batas itu bermaksud ia tidak hanya diterima umat Islam atau bangsa Melayu sahaja malah diterima bangsa lain sebagaimana populariti rentak dan konsep muzik seperti rap, rok dan blues.

NASYID BERSIFAT TERPENCIL

Ada yang berpendapat telah ada alternatifnya yakni muzik rentak nasyid yang dipopularkan kumpulan Raihan, Rabbani dan pelbagai kumpulan nasyid lain. Namun walaupun nasyid popular di kalangan masyarakat Melayu atau Islam, ia agak terhad kepada kelompok itu sahaja.
Masyarakat Cina tidak mendengar nasyid. Bahkan tidak banyak nasyid dalam bahasa Cina dan India dan tidak banyak pula dalam bahasa Inggeris. Kumplan Raihan misalnya pernah menyanyikan nasyid yang bertajuk “ching ai” dalam bahasa cina atau allahu yang bermiripkan musik India namun tak ramai penasyid yang cuba untuk menengahkan nasyid mereka dalam bahasa ini.

Satu aspek lagi adalah rentak nasyid hanyalah satu rentak dan konsep muzik. Ia tidak mungkin dapat memenuhi cita rasa semua manusia. Ertinya, tidak mungkin semua manusia dapat menggemari nasyid sebagai bahan hiburannya kerana manusia secara semula jadi mempunyai kerencaman cita rasa dan selera.Oleh itu, rentak nasyid hanya sesuai menjadi salah satu rentak alternatif tetapi tidak memadai untuk menjadi satu-satunya alternatif bagi muzik moden hari ini. Menetapkan nasyid sebagai satu-satunya alternatif muzik yang boleh digunapakai bagi umat Islam hanya akan menjadikan hiburan Islam terus berada di pinggiran sahaja.

STRATEGI

Satu strategi bagi mengemukakan alternatif muzik adalah dengan memanfaatkan lagu-lagu yang telah sedia ada di pasaran. Ini boleh dilakukan dengan memilih lagu-lagu yang mempunyai mesej yang baik dan secara terancang mempopularkan lagu-lagu jenis ini. Selain itu, masyarakat juga dididik untuk cenderung dan meminati lagu-lagu yang mempunyai mesej yang baik.
Strategi ini didasari kepada kefahaman bahawa terdapat lagu yang mempunyai seni kata yang baik dan berirama yang menyentuh perasaan seperti lagu Wonderful World oleh Kennie G, Heal The World oleh Michael Jackson, Perjalanan Hidup oleh Ramli Sarip, Ungu dengan lagu bertajuk Andai ku tahu dan Syurgaku. Turut mendasari strategi ini ialah walaupun lagu-lagu berkenaan mungkin akan dipertikaikan sebahagian pihak akan keharusannya di sisi Islam, hakikatnya ia adalah satu isu yang dikhilafkan ulama.

Lagu-lagu ini, walaupun mungkin dikatakan sebagai ’syubahat’ oleh sesetengah pihak, ia lebih baik daripada jika masyarakat umum mendengar lagu-lagu yang jelas haramnya (menjejas batin dan akal). Ini sejajar dengan konsep membolehkan mudarat yang lebih ringan dan prinsip tadarruj (berperingkat) dalam dakwah. Dengan melaksanakan strategi ini, pilihan bagi alternatif kepada muzik dan lagu yang merosakkan, menjadi lebih banyak dan sumbernya tidak terhad kepada kumpulan nasyid semata.

Ini mungkin memberi lompatan berganda (quantum leap) dalam usaha mengemukakan lagu-lagu alternatif dan mengelakkan gerakan dakwah daripada reinvent the wheel, atau membuat sesuatu yang telah sedia ada.

Namun untuk melaksanakan strategi ini, ia memerlukan semacam garis pandu yang meletakkan batasan dalam memilih lagu-lagu ‘halal’ supaya masyarakat tidak terpesong atau disalahgunakan.


ikuti juga: 

Read more

Saturday, January 23, 2010

Kenapa Nasyid? [Bahagian 4]

oleh: Mzfaizal.org

DARI BLOG UST NASRUDIN AL TANTAWI

Angin nasyid di Mesir yang begitu kuat, bersemangat dan bertenaga menjadi aspirasi kepada rakan-rakan seperjuangan di Jordan dengan kemunculan kumpulan usrah al-Firdaus. Album pertama Usrah al-Firdaus diterbitkan sebelum saya tiba di Jordan lagi. Album Sang Suria menampilkan Majdan Alias, Erfino Johari dan ramai lagi munsyid pada masa itu. Mereka adalah juara di kuliah, mereka juga juara di medan amar ma’ruf dan nahi munkar, tetapi tidak menghalang daripada bernasyid lantas dendangan mereka adalah refleks kepada jiwa pejuang dan penuntut ilmu di jalan Allah.

Saya dilamar untuk menyertai kumpulan Usrah al-Firdaus semasa di Mekah. Ketika kami menyertai rombongan umrah pertama untuk pelajar-pelajar baru, saya dijemput untuk bersama-sama membuat persembahan di majlis ramah mesra bersama pelajar Malaysia di Madinah. Oleh kerana saya memang gemar bernasyid, maka lamaran itu diterima dengan sepenuh hati dan on the spot saya karangkan nasyid “Nostalgia Tanah Suci” untuk dipersembahkan. Orang lain sibuk membaca al-Quran, saya pula termenung mencipta nasyid tersebut di tingkat dua Masjidil Haram. Tetapi hanya untuk beberapa jam sahaja.

Alhamdulillah, jiwa semasa itu masih puitis dan idea mencurah-curah. Nasyid itu adalah luahan hati saya yang kesal dengan sikap sesetengah kawan yang setibanya sahaja kami di Madinah (kami menaiki bas dari Jordan di utara Saudi, maka sampai di Madinah sebelum Makkah), yang mereka kagumkan adalah keindahan binaan Masjid Nabawi dan bukannya geledak iman dan perasaan diri sampai ke kampung halaman junjungan Nabi Muhammad SAW. Begitu juga apabila tiba di Makkah, yang dibualkan adalah kehebatan infrastruktur Masjidil Haram serta ramainya manusia di sana, dan bukannya 1001 hal yang tersirat tentang realiti umat Islam di sebalik penampilan zahir yang tersurat itu. Kemudian, semenjak itu saya sentiasa meluahkan isi hati melalui nasyid yang saya cipta.

Nasyid Tetamu Dataran Syam adalah di antara nasyid paling segera yang sempat saya siapkan. Ia ditimbulkan daripada sajak Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin tentang Bumi Syam. Saya bawa sajak itu ke dalam bilik kawan yang saya tumpang di Irbid, Jordan, dan saya ubah ia menjadi nasyid. Alhamdulillah sejam selepas itu siaplah nasyid Tetamu Dataran Syam yang kami dendangkan sempena menyambut pelajar baru tahun 1994 di dalam program Sambutan Pelajar Baru oleh Persatuan Pelajar Malaysia Jordan (PPMJ).

Nasyid-nasyid lain dikumpul bersama berkat derma yang dihulurkan oleh rakan-rakan seperjuangan. Alhamdulillah kami berjaya mengumpul wang untuk menghasilkan album kedua Usrah al-Firdaus bertajuk Gemilang pada tahun 1995. Album kedua ini, dirakam buat kali pertama di studio yang lebih ‘profesional’ berbanding rakaman di bilik yang generasi pertama Usrah al-Firdaus sental pintunya dengan kain pelekat agar soundproof. Di dalam album tersebut saya sumbangkan nasyid hampir 80% daripada keseluruhan album.

Walaupun kualiti bunyi tidak memuaskan hati kami, namun ia tidaklah menjadi isu sangat. Apa yang penting adalah mesej yang hendak disampaikan. Kami cuba tingkatkan lagi kualiti audio dengan kemunculan album ketiga iaitu Dunia Ini pada tahun berikutnya. Di dalam album tersebut saya sumbangkan nasyid dengan jumlah yang hampir sama tetapi kali ini sebahagiannya didendangkan oleh sahabat yang lain termasuklah Bambang Erman dan Erwan Johari. Ia, Erwan yang kini menjadi DJ di IKIM FM.

Tajuk album tersebut iaitu Dunia Ini, mengambil sempena nasyid yang beliau cipta dan dendangkan dengan lirik yang saya tulis. Selepas itu muncul lagi album seterusnya iaitu Bingkisan Aidilfitri yang digelar oleh sahabat-sahabat di Jordan sebagai “Bungkusan Aidilfitri” kerana cover kaset tersebut yang terlalu hodoh, seperti kotak geometri. Kedai yang mencetaknya telah menipu kami, membuang semua design yang asal dan digantikan dengan warna hijau pudar yang amat mendukacitakan. Saya masih menyumbangkan banyak nasyid di dalam album berkenaan tetapi saya sudah tidak menjadi munsyidnya lagi.

Pada masa itu saya rasa sudah terlalu ‘tua’ dan tiada kemampuan untuk berulang daripada Mu’tah ke Amman (200 km) setiap hujung minggu, menggendong kitab-kitab untuk diulangkaji sambil rakaman di studio yang ada kalanya bermula pada jam 11 malam hingga subuh. Tetapi sebenarnya saya sudah mula patah semangat kerana di zaman itulah nasyid kontemporari semakin popular dan demand semakin tinggi untuk nasyid kompang ditinggalkan dan digantikan dengan yang lebih moden serta kontemporari. Moden bukan sahaja pada alat muziknya, bahkan moden pada lirik.

Nasyid tentang nasib ummah, nasyid tentang jihad dan perjuangan saudara-saudara Islam sedunia dan segala macam nasyid yang membawa ‘mesej berat’ semakin tersisih.

NASYID BUKAN MELAYU LEBIH KONSISTEN

Maka pada masa itu saya mula mengalihkan diri kepada nasyid bukan Melayu yang lebih konsisten. Nasyid Abu Ratib, Abu al-Joud, Abu Mazin dan ‘Abu-abu’ yang lain dari Syria dan Jordan menjadi bahan hiburan pada masa tersebut. Konsert nasyid berkenaan [Mahrajan Intifadhah], bila dihadiri, terasa seperti mahu meloncat ke atas pentas disebabkan oleh tiupan semangat intifadhah melalui persembahan mereka. Di antaranya adalah kumpulan Firqah ar-Rawabi dengan lagu ‘Marwan’nya.

Nasyid tersebut menceritakan tentang Marwan, seorang pelajar University of Jordan yang semasa cuti semester, telah pergi berjihad ke Palestin dan dikurniakan syahid! Saya juga mengumpulkan nasyid-nasyid dari Turki [Ilahiler] dendangan para huffaz seperti Prof Mehmet Emin Ay dan Mustafa Demirci , serta Ahmed Ozhan yang begitu menusuk jiwa dan menjadi unggun api terhadap semangat saya mengkaji sejarah Daulah Othmaniyyah. Lebih menggembirakan pada masa itu, selepas Solat Tarawih di Uskudar, saya dan jemaah masjid terus ke seberang jalan masuk ke khemah besar yang disediakan untuk orang ramai mendengar persembahan live nasyid-nasyid itu tadi.

Bulan Ramadhan di Istanbul pada masa itu membawa kita semua terbang bypassing era Ataturk untuk tembus pulang ke hari-hari Khilafah Othmaniyyah yang gilang gemilang. Saya rindukan suasana itu. Nasyid-nasyid di Turki mempunyai disiplin seni yang unggul bahkan dendangan yang sama pernah digunakan di zaman pemerintahan Khilafah Othmaniyyah untuk mengubat pesakit jiwa di hospital. Artikel Prof. Dr. Ayhan Songar bertajuk “Socio-Psychiatric Institutions in Old Turks Under Islamic Tradition ” menjelaskan secara terpeinci tentang hal ini. Tidak malu pada diri saya untuk menyebut inilah dia apa yang dinamakan sebagai kesenian Islam.

Berbanding dengan nasyid-nasyid kontemporari Malaysia yang ada hari ini, konsertnya dinamakan sebagai Malam Kesenian Islam tetapi bagi yang tidak memahami Bahasa Melayu akan kehairanan melihat pemuda-pemuda berketayap mendendangkan lagu pop! Janganlah dikaitkan Islam dengan seni yang pathetic seperti ini! DAN KINI… Hinggalah ke hari ini, saya masih meminati nasyid walaupun usia sudah menjangkau 30an. Kisah-kisah itu tadi sudah menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah hidup saya.


ikuti juga: 

Read more

Saturday, January 16, 2010

Perfume Munif Hijjaz


Pengenalan
Munif Hijjaz Sdn Bhd adalah sebuah syarikat perkongsian milik penuh Bumiputera yang diasaskan dan diterajui oleh Ustaz Munif Ahmad yang merupakan penyanyi utama kumpulan nasyid popular di Malaysia iaitu Kumpulan HIJJAZ. Tercetusnya ilham untuk mengeluarkan pati minyak wangi jenama peribadi ketika beliau mengikuti satu rombongan jemaah menunaikan Umrah pada bulan April 2009. Melalui kombinasi idea Ustaz Munif dan juga salah seorang jemaah Umrah tersebut yang juga merupakan seorang ahli perniagaan maka terhasillah rangkaian pati minyak wangi “Munif Hijjaz Perfume”.


Objektif Kami
Untuk menerajui suatu penjenamaan baru di bawah label “Munif Hijjaz” dengan mengeluarkan dan memasarkan pelbagai jenis produk. Dengan memilih minyak wangi yang halal dan boleh dibawa solat sebagai medium pertama produk syarikat, kami meletakkan harapan yang tinggi serta keyakinan yang penuh untuk memperluaskan jenama ini dari semasa ke semasa.

Pihak kami juga akan memastikan semua pengguna produk keluaran kami pada masa kini dan akan datang tidak akan merasa ragu-ragu atau was-was untuk menjadikan produk kami sebagai pilihan utama mereka.


Komitmen Kami
Dengan menjadikan misi kami sebagai satu garis panduan dan juga melalui slogan yang menjadi pilihan kami iaitu “Munif Hijjaz, Simbol Tanpa Keraguan”, pihak kami akan menjalankan tanggungjawab secara telus dan jujur untuk memastikan setiap produk yang kami perkenalkan tidak bercanggah dengan kehendak-kehendak Islam.


Jaminan Produk
Pihak syarikat Munif Hijjaz Sdn Bhd menggunakan pati minyak wangi yang halal yang diimport khas dari luar Negara, khususnya dari negara Perancis. Tiada unsur-unsur haiwan atau sebarang bahan-bahan terlarang digunakan dalam penyediaan pati minyak wangi tersebut. Sumber alam semulajadi seperti ribuan jenis bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan merupakan bahan utama yang diproses untuk menghasilkan pati minyak wangi yang menjadi pilihan kami.

*credit to website rasmi Munif Hijjaz

Read more

Friday, January 15, 2010

Kenapa Nasyid? [Bahagian 3]

oleh: Mzfaizal.org

KEMUNCULAN AL-WADI DI MESIR


Begitu juga kita semua terhibur dengan kemunculan kumpulan Usrah al-Wadi oleh pemuda-pemuda yang menuntut di Universiti al-Azhar. Kaset pertama mereka, dirakamkan di dalam bilik sahaja. Kalau tidak silap tajuknya ialah “Di Manakah Silapnya”. Nasyid-nasyid yang mereka dendangkan dengan penuh makna itu banyak menyumbang kepada pembinaan fikrah dan diri. Sehingga ia seakan-akan menjadikan pendengar lebih tua dari usia sebenar. Lagu Wasiat Sayyid Qutb yang asal sebelum dirakamkan semula di dalam album keempat mereka “Islam Penyelesaian” sangat menyentuh hati.

Begitu juga dengan lagu Di Manakah Silapnya yang menceritakan tentang perpecahan menjadi punca kejatuhan Ummah sangat berkesan kepada diri. Selepas album pertama itu, muncul pula album kedua edisi terhad yang diterbitkan sebanyak 500 unit sahaja jika saya tidak tersilap. Iaitu kaset sempena Hari Raya Aidilfitri. Di antara lagu yang sangat saya kenangkan adalah “Anak Kecil di Palestin” yang turut saya dan penyanyi utamanya persembahkan di hadapan Sultan Perak di Dewan DBI, Ipoh sempena pertandingan Nasyid Peringkat Negeri Perak pada tahun 1992. Semua orang terpegun dengan mesej tajam yang disampaikan bilamana nasyid kami anti klimaks.

Orang lain sibuk mendendangkan nasyid goyang kepala dengan baju-baju yang menyilaukan mata, tiba-tiba dendangan nasyid rintihan seorang anak kecil di Palestin yang meratapi kematian ibunya di pagi Aidilfitri oleh kekejaman regim Yahudi. Begitulah seterusnya terbit album Kepimpinan Ulama, Islam Penyelesaian, Fajar Lebaran dan Belenggu Fatamorgana yang bila mendengar isi kandungannya, seakan-akan mendengar berita al-Jazirah! Ada nasyid tentang Bosnia, Tragedi Natrah, Masjid Babri, Kashmir, Afghanistan dan segala krisis umat Islam disentuh.

Akhirnya nasyid Membangun Bersama Islam dan Islam Penyelesaian menjadi konklusi kepada semua tragedi tersebut. Begitu juga dengan nasyid Ideologi dendangan Dr Jamnul Azhar yang menyebabkan ramai ternganga. Nasyid itu dengan penuh sarcastic menyindir golongan sekular yang sangsi dengan Islam, dan lebih selesa dengan teori Niccolo Machiavelli.

UNITED KINGDOM TIDAK KETINGGALAN

Usrah al-Wadi di Mesir juga menghasilkan anak buahnya iaitu Usrah as-Soff yang pada album pertama dan keduanya banyak menyumbang kepada kategori nasyid pejuang. Pada masa yang sama juga, Sinaran Azhar oleh sahabat-sahabat Alami sempat menghasilkan beberapa buah album. Manakala di United Kingdom pula, rakan seperjuangan tidak ketinggalan menghasilkan beberapa album dan kumpulan yang kemudiannya dikenali sebagai Suara Tajdid itu telah mementaskan pentomin Salehuddin al-Ayyubi yang tidak akan saya lupakan.

Album dengan cover Hitam Putih mereka, turut memuatkan sajak tentang insiden di Masjid ar-Rahman semasa kedatangan kumpulan kriket Yahudi ke Malaysia suatu ketika dahulu. Nama-nama seperti Razi, Ziad, Zamri, Najmi dan Azri adalah penghibur kita pada masa itu dari UK. Zaman itu kita kaya dengan nasyid yang memberi tenaga kepada pejuang agama, dan menjadi peluru tajam kepada yang menentang arus kebangkitan Islam.


ikuti juga: 

Read more

Sunday, January 10, 2010

Kenapa Nasyid? [Bahagian 2]

oleh:Mzfaizal.org

NASYID SEBAGAI CABANG SENI ISLAM

Apabila sesuatu hasil karya mahu diangkat sebagai cabang seni, ia mestilah terbit dari disiplin dan dasar yang tertentu. Jika suatu bentuk cara menulis diangkat sebagai seni, maka tulisan itu mestilah mematuhi garis panduan yang tertentu di dalam proses penulisan. Andai suatu bentuk rekaan binaan mahu diangkat sebagai seni, sudah pasti ia direka bina berpandukan kepada ilmu yang mendasari seni berkenaan.

Umumnya nasyid di Malaysia berkembang tidak dalam bentuk suatu seni yang dipelajari. Malah kemunculan kumpulan nasyid di Malaysia banyak bergantung kepada minat dan bakat menyanyi yang ada. Akan tetapi, sejauh manakah penghasilan seni mereka disandarkan kepada ilmu dan disiplin?. Paling tidak, berapa ramai penasyid, sama ada penyanyinya, atau yang lebih utama para pencipta lagu nasyid, mempunyai pengetahuan di dalam bidang muzik Islam.

Seni, didefinisikan oleh Brittanica Online sebagai penggunaan skil dan imaginasi dalam penghasilan objek, persekitaran dan pengalaman estetik (indah) yang boleh dikongsi bersama orang lain. Dalam erti kata yang lain, seni menuntut kepada penghasilan mutu kerja yang indah berasaskan kepada kemahiran dan imaginasi.

Kemahiran terhadap seni muzik Islam, adalah disiplin yang telah sedia wujud di dalam tradisi Islam. A. Shiloah di dalam artikelnya bertajuk The Dimension of Sound (The World of Islam diedit oleh Bernard Lewis) membayangkan bahawa disiplin seni Islam berasal usul daripada teknik melagukan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan tradisi fazziyy dan mawlid itu sendiri. Irama yang dialunkan mempunyai maqam yang tertentu dan keindahan irama yang bersistem ini, dioptimumkan pula oleh pengungkapan lirik yang indah, lazimnya menerusi syair-syair yang kaya dengan nilai estetika.

Kepatuhan terhadap disiplin seni inilah kunci kepada penghasilan seni muzik Islam yang bermutu tinggi. Seni muzik Islam bukan sahaja mampu berperanan sebagai medium dakwah yang berkesan, malah turut diterima sebagai sumbangan Islam kepada kesenian dan tamadun dunia.

Malah, kehebatan seni muzik Islam diangkat lebih daripada sekadar hiburan dan santapan emosi. Ia telah dijadikan sebagai instrumen penting kepada teknik merawat pesakit psikiatri, khususnya di era Othmaniyyah Turki, malah seawal zaman Seljuk.

Selepas pembukaan kota Istanbul pada tahun 1453, Sultan Muhammad al-Fatih telah membuka pusat rawatan pesakit psikiatri yang dikenali sebagai Bimarhane-i-Ebulfeth Sultan Mehmed. Di Edirne, pusat rawatan pesakit psikiatri telah dibina sebagai sebahagian daripada kompleks Masjid Sultan Bayazid II dan terus digunakan sehingga tahun 1915. Pesakit dirawat dengan menggunakan teknik muzik Turki yang harmoni, di mana pemuzik akan memetik nota tertentu dan reaksi pesakit direkod. Nota-nota muzik yang menerima reaksi pesakit akan digunakan untuk mencipta lagu khas yang diperdengarkan kepada pesakit itu tadi dari semasa ke semasa.

Prof. Dr. Ayhan Songar yang mengkaji hal ini menegaskan bahawa, rawatan dengan menggunakan muzik Barat yang berteraskan kepada matematik yang jumud, tidak dapat menghasilkan kesan sebagaimana seni muzik Turki yang lebih fitrah. Ini menjadi bukti bagaimana, ada alunan muzik yang merawat emosi, dan ada juga yang mengundang penyakit jiwa!

Hal inilah yang sepatutnya menjadi fokus kepada penasyid yang serius mahu menyumbang kepada pembangunan seni muzik Islam. Penyanyi nasyid kontemporari seperti seperti Sami Yusuf, sangat memberikan penekanan kepada hal ini. Beliau mengungkapkan nasyid-nasyidnya dengan asas ilmu seni yang tinggi. Mungkin kerana tidak mahu dibayangi oleh imej kebanyakan nasyid semasa, beliau lebih suka dikenali sebagai pemuzik yang berjiwa Islam dan menjadikan Islam sebagai sumber karyanya dan bukannya sebagai penasyid.

Sebagaimana seorang pendakwah yang menulis perlu belajar selok belok teknik penulisan yang berkesan, atau pendakwah yang berpidato perlu belajar seni pidato yang baik, maka begitulah juga pendakwah yang berdakwah melalui nasyid, mestilah menempuh proses yang sama, menjadikan nasyid sebagai suatu bidang yang ada disiplin tertentu dan bukan hanya didendangkan sesedap rasa.

Jika di negara seperti Turki, seni muzik Islam menjadi subjek yang dipelajari oleh pelajar fakulti Teologi (Ilahiyat) secara teori dan praktikal. Maka, nasyid-nasyid mereka muncul dengan kualiti seni yang tinggi kerana penasyid-penasyid utamanya sendiri, adalah terdiri daripada ilmuan di dalam seni muzik Islam seperti Mehmed Emin Ay dan Mustafa Demirci. Penasyid dan peminat nasyid, masing-masing mengangkat kualiti nasyid berasaskan kepada tradisi seni muzik Islam yang tinggi dan “evergreen”.

Dari situlah, nasyid akan memperolehi definisi yang konsisten sehingga istilah nasyid sebenar akan mendapat maksud yang lebih jelas dan tepat.

NASYID SEBAGAI ALTERNATIF HIBURAN

Banjiran dendangan nasyid-nasyid yang ada di pasaran hari ini menjadi alternatif kepada gejala hiburan melampau yang wujud di dalam masyarakat. Semenjak kemunculan kumpulan nasyid komersil menjelang tahun 2000, hari demi hari menyaksikan nasyid terpaksa mengikut kehendak arus yang sedia ada. Semasa zaman nasyid berkompang pada akhir 80an hingga pertengahan 90an, kaset-kaset RM4 yang dijual di kawasan ceramah, di sekolah-sekolah agama dan kedai-kedai buku sambil menunggu bas ekspres pulang ke kampung itu, mengandungi himpunan lagu yang menguatkan semangat untuk berjuang.

Malah daripada nasyid itu kita boleh mempelajari tentang perkembangan perjuangan gerakan yang didokongi oleh kumpulan berkenaan. Lihat sahaja Nada Murni, nasyid seperti Musafir Kelana, Kawan, dan kaset Selamat Tinggal Duniaku yang agak kontroversi kerana didendangkan oleh Muslimat mereka, mencerminkan era pembinaan jemaah al-Arqam. Kemudian terbit pula kaset Rindu, Munajat dan sehinggalah kepada Pulang Abuya Pulang, memahamkan kepada kita tentang apa yang berlaku kepada perjuangan mereka. Saya tidaklah berhasrat untuk memberikan komen tentang isi kandungan nasyid-nasyid itu.

Album Cahaya di Ufuk Timur yang memuatkan muqaddimah fikrah Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi itu telah difatwakan haram oleh beberapa tokoh di Jordan, apabila dipertimbangkan daripada kaca mata Al-Quran dan penjelasan sebenar Hadith-hadith yang sahih. Namun perlu dipertekankan adalah nasyid di zaman berkenaan adalah nasyid fikrah, nasyid dakwah, nasyid bermesej dan nasyid yang membangkitkan semangat berjuang.


ikuti juga: 

Read more

Saturday, January 9, 2010

Assaufee Mahu Lebih Dikenali

sumber: Harian Metro

MUNGKIN nama Assaufee tidak popular seperti kumpulan nasyid Rabbani, Raihan mahupun Hijjaz, tetapi itu tidak bermaksud mereka tidak hebat atau tidak diminati ramai.
Pernah menjuarai carta Nasyid Minggu Ini (NMI) menerusi lagu Rindu Kekasih selama 11 minggu berturut-turut mengatasi pencapaian lagu Al-Jannah nyanyian Mawi, kumpulan ini dilihat lebih gemar bergerak secara 'senyap' tanpa pendedahan media.

Bukan tidak mahu atau sengaja menjarakkan diri dari media, cuma anggota Assaufee ketika itu lebih tertumpu pada kerjaya tetap dan hanya memperjuangkan irama nasyid mereka apabila mempunyai kelapangan masa. Malah, ada anggotanya menetap di luar Kuala Lumpur menyebabkan arus perjalanan seni Assaufee agak perlahan berbanding kumpulan nasyid lain. Menyedari perjuangan mereka belum berakhir Assaufee yang ditubuhkan sejak 1999 itu dan dianggotai seramai lima orang iaitu Mohd Fakhrul Idzhan Mazlan, Hafiz Mahmood, Ahmad Radzuan Idris, Nazrul Azwan Ahmad Sabri dan Faizal Mohd Sapri ingin menembus kembali kesilapan masa lalu dengan bergiat lebih aktif.

Tidak bermaksud melepaskan kerjaya tetap begitu saja semata-mata karier seni kerana ada yang bertugas sebagai pendidik dan pengurus, kali ini mereka komited untuk seimbangkan kedua-duanya agar semua berjalan lancar dan mengikut jadual dirancang. Ketika ditemui pada sesi fotografi Rap di Balai Berita, baru-baru ini beritahu Faizal, impian Assaufee untuk lebih dekat dengan media bukanlah disebabkan faktor 'populariti' semata-mata.

"Kami akui Assaufee tidak terkenal kerana kurang promosi dan masing-masing sibuk dengan komitmen kerjaya tetap. Selain itu, ada yang menetap di luar Kuala Lumpur menyebabkan proses promosi agak sukar sikit. "Dengan masa terhad, kami terpaksa melupakan impian mempopularkan Assaufee. Mungkin pendedahan media terhadap nama Assaufee agak tidak menyerlah berbanding kumpulan nasyid lain, tetapi bagi penggemar irama muzik nasyid, mereka mengenali dan mengetahui lagu-lagu kami.

"Malah, setiap bulan jadual Assaufee akan terisi dengan undangan persembahan dan ini secara jelas membuktikan peminat mengetahui kewujudan kami. Cuma, dulu kami tersilap atur kerana terlupa mendekatkan diri dengan media untuk tujuan promosi. "Bukan tidak suka, cuma seperti apa diperkatakan tadi yang kami agak sibuk hingga lupa tujuan promosi walhal ia perkara penting apabila menceburkan diri dalam industri hiburan tempatan.

"Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk seimbangkan kedua-duanya antara kerjaya tetap dan Assaufee. Kami juga berusaha merancang strategi terbaru berhubung dengan media bagi tujuan promosi. Sejajar dengan tahun baru, kami komited bekerja keras mempopularkan Assaufee. "Tanpa pertolongan media, sudah tentu perancangan ini tidak akan menjadi.

Di sebabkan itu, ketika ini kami berusaha mencari mana-mana ruang untuk menjalin ikatan baik dengan media bagi tujuan promosi. "Tetapi, kami harap orang luar jangan salah faham pula. Tujuan kami mendekati media bukanlah kerana ingin kejar populariti.

Assaufee tetap seperti dulu di mana matlamat utama kami menyebarkan dakwah Islam menerusi lagu dan muzik. Cuma, kami rasa sudah tiba masanya kami ke depan bersama kumpulan nasyid lain bagi meningkatkan kesedaran terhadap agama.

"Kalau dilihat ketika ini ramai remaja Islam mudah terikut-ikut kehidupan dunia barat. Jadi, kami rasa irama nasyid amat sesuai dijadikan sebagai panduan, nasihat dan peringatan akan kepentingan agama dalam kehidupan seseorang manusia," katanya. Sesi fotografi pada petang itu, bagaimanapun tidak dapat dihadiri dua anggotanya, Mohd Fakhrul dan Nazrul Azwan kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan. Mengenai perkembangan terkini, Assaufee kini sibuk dalam proses menerbitkan album ketiga mereka yang dijangka siap tahun ini.

Selepas menerbitkan album pertama, Keinsafan pada 2001, album kedua, Rindu Kekasih (2007), Assaufee mengambil masa tiga tahun untuk melahirkan album ketiga. Menjanjikan kelainan, lagu yang bakal dimuatkan dalam album baru nanti akan melihat satu transformasi ketara berbanding sebelum ini. Mereka yang sebelum ini mengetengahkan nasyid klasik, kali ini menampilkan konsep pop-world muzik.

"Walaupun kami menukarkan konsep muzik, tetapi elemen tradisional atau asas nasyid masih ada. Tujuan kami, biarlah Assaufee diterima ramai dan bukan tertumpu di kawasan setempat saja. "Kami juga berharap perjuangan Assaufee memenuhi permintaan global, remaja masa kini dan disebabkan itulah kami membuat keputusan menukar konsep agar ia bersesuaian dengan kehendak semasa.

Bagaimanapun, elemen tradisional atau asas nasyid masih kami tekankan. "Ketika ini, dua lagu sudah siap dirakam iaitu Gerbang Hidayah dan Sinar Yang Calar. Kami mengambil masa untuk lahirkan album ketiga kerana ingin menambahkan lagi kualiti lagu selain proses transformasi yang akan ditampilkan nanti," katanya.

Read more

5Forty2 Angkat Mikrofon Vol. 1

Mereka bukanlah artis nasyid tetapi mereka adalah artis yang cuba menyampaikan kritikan-kritikan sosial untuk membuka minda kita.

Jika sebelum ini 5Forty2 popular di alam maya dengan lagu Ushahidu (Budak Zaman Sekarang), 5Forty2 muncul dengan album yang cukup mini dan paling termurah dalam dunia hiburan Malaysia.

Angkat Mikrofon Vol.1 merupakan judul bagi mixtape pertama mereka. Setiap mixtape hanya dikenakan bayaran RM3 sahaja.

Mixtape homemade ini menampilkan lagu-lagu seperti Datang Balik, Prop Ganda, LuBeLi, Silap Lalu, ASWJ, She-sha, Rilek dan Balada Palestin (feat. Demascus).

Bagi mereka yang berminat, hubungi 542music@gmail.com atau 0132928570. Bagi mereka yang berada di Penang, hubungi 0172350984, KL (0126377052), Damansara Utama (0176684360). Caj RM1 akan dikenakan untuk pembelian pos.

*RM3 hanyalah untuk menampung kos kulit album. Album ini tidak berasaskan keuntungan tetapi berasaskan perjuangan.

Read more

Wednesday, January 6, 2010

G-Heart Muncul Dengan Mencari Kedamaian


G-Heart akhirnya tampil dengan album mereka,Mencari Kedamaian. Kumpulan yang berasal Permatang Bogak. Sesungguhnya, seketul daging itu, adalah Hati (Heart). Maka kumpulan Nasyid ini tampil di tengah masyarakat dengan nama hasil GABUNGAN dua prasa melayu dan Inggeris iaitu Generasi (G) dan Heart.Gabungan ini membawa kepada lahirnya sebutan yang amat bererti dalam membawa misi agama Islam iaitu JIHAD.

Menampilkan lagu-lagu seperti Iqra,Rintihan Hamba,Seruan Terhalang,dan lain-lain lagi. Album yang berharga RM15.00 boleh didapati dengan segera.

Read more

Tuesday, January 5, 2010

Kenapa Nasyid? [Bahagian 1]

oleh:Mzfaizal.org

PENGENALAN


Nasyeed atau Nasyid di Malaysia, Brunei dan Singapura atau dikenali sebagai “Ilahija” di Negara-negara Balkan seperti Bosnia atau al-Firqah dalam bahasa Arab adalah lagu yang berorientasikan kepada Islam. Secara tradisinya nasyid dinyanyikan secara akapela atau diiringi oleh alat musik yang diketuk seperti gendang, gedombak atau kompang. Musik berpaluan kompang seperti ini adalah hasil interpretasi oleh para alim dan ulamak yang melarang penggunaan alatan musik atas alasan boleh melalaikan. Namun, ramai yang menyukai ketulinan dan kesederhanaan musik ini.

Generasi baru genre musik nasyid menggunakan pelbagai jenis musik ke dalam seni musik mereka. Ini menyebabkan kontroversi di kalangan komuniti islam kerana ramai pandangan ulamak kontra dengan idea menggunakan perbagai jenis alatan musik terutamanya alatan yang menggunakan tali.

“Julat jenis musik yang ada di dalam nasyid meluas daripada tiada alatan musik, hanya nyanyian sahaja sehingga pelbagai jenis alatan musik asalkan tidak lari daripada perkara yang bercanggah dengan amalan Islam”. Penasyid seperti kumpulan Outlandish, Aman dan artis solo seperti Dawud Wharnsby Ali, Sami Yusuf, Slave of Allah and Idris Phillips menarik minat ramai dan menjadi penghibur utama dalam majlis, seminar, konsert dan persembahan.

Penasyid di Malaysia lebih menonjol dalam Kumpulan serta tidak kurang hebat mempersembahkan kesenian mereka seperti kumpulan Raihan, Brothers, UNIC, Safwan, Mirwana dan sebagainya. Sesungguhnya nasyid terkenal di Negara Timur Tengah, Asia Tenggara, Bosnia dan Herzegovina serta Asia Selatan. Selain itu, nasyid juga disukai ramai umat islam di United Kingdom lebih-lebih lagi dengan kehadiran Yusof Islam yang pada suatu masa dahulu di kenali sebagai “Cat Steven”

Nasyid juga telah diproduksi secara professional dalam bentuk video seperti lagu lain menampilkan video hit mereka. Contohnya, Nasyid Madinah Tun-Nabi oleh Aashig al-Rasul, Al Mualim dan Hasbi Rabbi oleh Sami Yusuf, Doa oleh Seven 8 Six, Mercy like the Rain oleh Shaam dan Our World oleh Zain Bikha. Kumpulan-kumpulan nasyid di Malaysia boleh dikatakan semua mempunyai video klip masing-masing sama ada diterbitkan dengan bantuan stesen TV tempatan atau inisiatif mereka sendiri

NASYID SEBAGAI MEDIUM DAKWAH

Apabila nasyid diperkatakan sebagai medium dakwah, peranannya telah dimainkan dalam konteks itu seawal tahun 80an dengan kemunculan kumpulan nasyid seperti Nada Murni yang dahulunya bernaung di bawah pergerakan kumpulan al-Arqam. Walaupun sebahagian daripada lagu nasyid yang dihasilkan merupakan mesej dan kepercayaan yang dipegang di dalam perjuangan kumpulan al-Arqam itu sendiri, secara umumnya album-album Nada Murni diterima sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada kesedaran dan kebangkitan Islam di tahun-tahun 80an dan 90an. Konsert-konsert nasyid Nada Murni sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat. Malah di era itu, Nada Murni berupaya untuk menembusi kelab-kelab malam dan berganding dengan penyanyi popular, membawa suara Islam ke suatu tempat yang hampir mustahil untuk ditembusi oleh pendakwah biasa.

Peranan Nada Murni yang berdakwah menerusi nasyid, turut sama diperkayakan oleh kemunculan album-album nasyid lain seperti album Grup Aspirasi Seni (USM), Nahwan Nur (UPM), Shoutul Sybab (UKM) dan nasyid-nasyid Abu Ratib yang diterbitkan semula oleh Pustaka Salam. Begitu juga dengan kemunculan kumpulan nasyid dari kalangan mahasiswa tanah air dan luar negara, khususnya kumpulan Sinaran Azhar. Begitu juga Usrah Al-Wadi yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Namun, skop pendengar dan peminat kepada nasyid di era ini terhad kepada pelajar-pelajar di sekolah agama serta Universiti, dan mereka yang terbabit secara langsung di dalam lapangan dakwah. Nasyid di era ini lebih berperanan sebagai hiburan alternatif bagi golongan agama dan dakwah. Ia bukan untuk santapan massa.

Hanya dengan kemunculan album Raihan (asalnya dinamai The Zikr) pada tahun 1996 sahajalah, dimensi ini mengalami perubahan dan nasyid buat pertama kalinya berpeluang muncul di media-media siar negara kita dan sampai kepada skop pendengar dan peminat muzik yang lebih luas tanpa sempadan. Lirik nasyid mula mengalami perubahan. Jika sebelumnya, kebanyakan nasyid memperkatakan tentang aspek-aspek perjuangan dan jihad, malah isu-isu semasa umat Islam seperti isu Palestin, Kashmir dan Bosnia, lirik nasyid pasca album Puji-pujian mula terbuka kepada memperkatakan tentang subjek yang lebih umum dan boleh dihayati oleh orang awam.

Jika nasyid didefiniskan sebagai medium dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah intepretasi seorang Daie terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.

Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya. Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan genre hiphop dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah. Apabila nasyid menjinakkan dirinya kepada genre hip hop, rap pop malah rock, apakah perubahan itu hanya membabitkan perubahan genre lagu, atau genre kehidupan penasyid itu sendiri?

Lagu Islam yang datang dari masyarakat hip hop, berbeza dengan lagu Islam yang datang dari masyarakat yang mengimitasi hip hop. Penghasilan irama hip hop bagi penasyid dari kalangan kaum Muslimin Afro-Amerika di Amerika Syarikat, Kanada dan Britain, tidak diragui bahawa mereka telah berjaya menepati maksud hikmah di dalam dakwah. Kejayaan ini adalah dengan mengambil kira hip hop sebagai budaya masyarakat setempat. Masyarakat Afro-Amerika berfikir dan berkomunikasi dengan genre hip hop, rap dan raggae. Oleh yang demikian, menyampaikan mesej dakwah melalui lagu hip hop, rap dan raggae adalah sangat menepati maksud hikmah di dalam dakwah.

Maka, penasyid seperti Mustaqim Sahir di dalam albumnya Upright Song telah berjaya mengungkapkan mesej Islam dengan begitu baik, menepati sasaran komuniti Afro-Amerika di Amerika Syarikat dan dunia umumnya. Tidak ketinggalan, nama-nama seperti Native Deen dan Aashiq al-Rasul (AAR).

Hip hop dalam konteks ini, tidak berbeza dengan nasyid negara Arab. Penasyid Arab seperti Abu Ratib dan Imad Rami mengekalkan genre lagu tempatan bersesuaian dengan bahasa jiwa pendengar yang disasarkan.Mereka bercakap di dalam nasyid dengan bahasa pendengar. Bukan hanya bahasa lisan, tetapi juga bahasa pemikiran.

Hal yang sama lebih ketara apabila kita melihat kepada penyanyi genre Ilahi iaitu istilah yang ditujukan kepada nasyid-nasyid Islam yang klasik di Turki. Lebih 1/3 daripada penduduk Turki merupakan golongan yang dekat dengan tradisi sufism, maka pengungkapan mesej Islam di dalam irama yang mengikut disiplin Ilahi, lebih memudahkan masyarakat untuk menjiwai mesej dakwah yang ingin disampaikan.

Nasyid yang terbit dengan genre budaya masyarakat setempat adalah lebih konsisten dan seterusnya efektif di dalam melaksanakan fungsinya sebagai medium dakwah. Walau bagaimanapun, apabila penasyid di Malaysia mengubah cita rasa nasyid tempatan kepada irama hip hop, R&B dan yang seumpama dengannya, sejauh manakah peralihan ini menepati maksud dakwah?

Jika ada yang mahu mendekati remaja dengan memperkenalkan nasyid hip hop, apakah genre hip hop di kalangan remaja kita, merupakan suatu budaya dan pemikiran, atau keseronokan dan selera sementara yang datang dan pergi ?

Jika mereka memilih hip hop kerana minat, maka tidak mungkin mereka mahu kehidupan mereka diganggu oleh nasyid hip hop yang mencelah.Remaja kita yang meminati hip hop, mereka tidak sampai kepada tahap berbudaya dan berfikir secara hip hop. Ia hanya sebuah trend.

Mungkin kerana ini, nasyid hip hop Malaysia sukar menempatkan diri sama ada di dalam kategori nasyid, mahu pun di dalam kategori hiphop itu sendiri.

Di dalam dunia hip hop, nasyid hip hop dipersoalkan ketulennya. Apakah ia hip hop atau pseudo hip hop? Akhbar, yang pernah menganggotai kumpulan Mirwana mula mengorak langkah mempertengahkan irama hip hop dalam alunan nasyidnya. Misalnya nasyid Manusia lupa, mungkin mmapu mengubah persepsi nasyid hip hop.

Kita mesti bezakan di antara penyanyi hip hop yang mendapat kesedaran Islam lantas menyatakan kesedaran itu melalui hip hopnya, berbanding dengan penyanyi nasyid yang konservatif, mendapat kesedaran hip hop lantas meninggalkan imej penasyidnya dan menonjolkan perubahan dari nasyid kepada hip hop. Bukan hanya genre yang diubah, malah syakhsiah turut menimbulkan gelisah.

Manakala di kalangan peminat nasyid yang lebih konservatif, tentunya mereka sukar untuk menerima kehadiran nasyid sebegini. Mereka akan terus mencari nasyid sebenar! Istilah nasyid sebenar, mengundang kita kepada persoalan kedua. Apakah maksud kepada istilah nasyid sebenar ?. Bagaimanakah ia didefinisikan ?. Soalan ini penting kerana jawapannya akan menentukan sama ada nasyid yang kita hasilkan di Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai cabaran SENI atau tidak?

Nasyid sebagai medium dakwah, maka ia bolehlah diumpamakan sebagai iklan bagi produk yang ingin dipasarkan. Nasyid adalah iklan yang mempromosikan Islam, Allah dan Rasul, agar dekat, dikenali dan diterima oleh masyarakat. Maka, elemen yang perlu ditonjolkan di dalam nasyid itu mestilah subjek dakwah yang mahu disampaikan.

Sebuah iklan komersil boleh dianggap sebagai iklan yang berjaya, jika produk yang diiklankan berjaya terjual dengan baik. Namun, sebuah iklan tetap merupakan iklan yang gagal, jika persembahannya hanya mempopularkan pelakon iklan, tetapi produk yang diiklankan tidak terjual. Nasyid yang hanya tertumpu kepada penasyid dan lemah dalam pengungkapan dakwahnya, lantas gagal membentuk trend masyarakat untuk seterusnya menerima Allah, Rasul dan Islam dalam kehidupan, adalah nasyid yang gagal mencapai maksud.

Tegasnya, nasyid mestilah berupaya bertindak sebagai pencorak, dan bukannya tenggelam oleh trend masyarakat yang berubah-ubah dari semasa ke semasa. Lantas nasyid hip hop dan yang seumpama dengannya, mempunyai banyak ruang muhasabah yang perlu difikirkan bersama.


ikuti juga: 

Read more

Saturday, January 2, 2010

Gitar Pertikaian Yang Belum Selesai

Dalam satu program, kumpulan nasyid di bawah naungan Nasyeed.Com iaitu Algebra telah dijemput untuk membuat persembahan namun akhirnya terpaksa menarik diri kerana terdapat pertikaian berhubung soal penggunaan gitar oleh Algebra. Sebagai kumpulan nasyid yang tampil dalam bentuk band, Algebra sememangnya menggunakan instrument yang dimainkan secara live seperti gitar, dram, keybord dan sebagainya.

Apabila isu penggunaan gitar yang dianggap haram ini dibangkitlah oleh salah seorang jawatankuasa penganjur, saya agak terkejut kerana menjangkakan isu ini telah lama selesai.Penggunaan alat muzik bertali ini dalam irama nasyid kontemporari boleh dikatakan bermula sejak terbitnya album sulung Inteam berjudul Kasih Kekasih yang menggunakan alat muzik bertali berasal dari iaitu Mendolin. Namun pada ketika itu isu penggunaan alat muzik bertali ini agak tenggelam dengan isu kewajaran subjek percintaan remaja disentuh dalam lagu nasyid.

Sebelum kami yakni para penggiat nasyid memutuskan untuk meluaskan penggunaan instrumen muzik selain daripada percussions, kami telah merujuk kepada ulama-ulama yang dihormati di Malaysia untuk mendapatkan pandangan mereka. Hampir kesemua ulama yang kami temui mengatakan bahawa secara umumnya penggunaan sebarang instrumen muzik adalah harus asalkan ia digunakan untuk tujuan yang baik. Analoginya mudah, penggunaan pisau di dapur untuk memotong sayur adalah harus namun jika pisau yang sama digunakan untuk membunuh insan yang lain maka ia akan menjadi haram. Malah ada juga antara ulama ini juga mempunyai kemahiran dan minat bermain instrumen sebegini. Tetapi soalnya mengapa ulama terdahulu ada yang mengharamkan alat muzik bertali dan tiupan?

Imam Al Ghazali melalui bukunya bertajuk Adab Mendengar Irama dan Lagu ada menjelaskan bahawa pengharaman instrumen-instrumen tersebut adalah kerana pada satu ketika ia menjadi syiar atau lambang kepada golongan fasik dan bukan kerana zat instrument itu sendiri. Pendek kata pada waktu itu, sesiapa yang bermain alat muzik bertali dan tiupan pastinya tergolong dalam golongan fasik. Namun dalam suasana hari ini takrifan itu tidak boleh digunakan lagi. Dewasa ini, kita sendiri pun tidak akan sewenang-wenangnya mengatakan sesiapa yang menggunakan alat muzik bertali atau tiupan adalah fasik.

Walau bagaimanapun saya tetap menghormati pandangan golongan yang berpendapat sebaliknya.Cuma apa yang diharapkan, mereka juga menghormati ijtihad yang kami pegang dan tidak menghalang kami berkarya dengan cara kami tersendiri. Lagipun apa yang didebatkan ini adalah khilaf dan bukanlah perkara dasar yang boleh menjejaskan akidah. Semoga kita semua mendapat petunjuk Allah SWT.


Muhamad Razin Che Mud
Setiausaha Agung
Persatuan Penggiat Industri Nasyid Malaysia

Read more

Friday, January 1, 2010

Mawaddah Belum Terkubur

Mawaddah, nama yang cukup gah dalam kalangan penasyid wanita. Kehebatan mereka bukan sahaja diakui oleh peminat dakwah di Malaysia malah turut mendapat tempat di benua Eropah, Indonesia, Jordan, Syria,Brunei dan Singapura.

Kejayaan menerbitkan lebih daripada 10 album membuktikan kumpulan ini mempunyai pengaruhnya tersendiri. Antara album yang pernah diterbitkan oleh mereka ialah Sayangi Tuhan, Takutilah Tuhan, Hidup Bertuhan, Tsunami:Pembawa Mesej Dari Tuhan, Kembali Kepada Tuhan dan Sembahyang Membina Peribadi Agung serta banyak lagi.

Diterajui oleh dua vokalis utama, Khaulah dan Fatimah atau Fatim, Mawaddah terus muncul dengan album terbaru mereka, Rintihan Cinta. Album terbitan Global Ikhwan Production ini boleh didapati di premis-premis Global Ikhwan atau membeli secara online di website Mawaddah.

Berpendirian memperjuangkan Tuhan sebagai landasan utama, Mawaddah tidak pernah terkubur dari terus menghasilkan lagu-lagu yang mendidik hati manusia.

Menyepi terlalu lama bukan bererti mereka terkubur tetapi meredakan keadaan setelah syarikat induk naungan mereka, Rufaqa' Corporation Sdn Bhd dilanda kontroversi yang membawa kepada pembatalan syarikat.

Kini, di bawah Global Ikhwan, Mawaddah akan terus bergerak secara indie bagi memudahkan mereka menguruskan diri tanpa diikat oleh-oleh mana syarikat rakaman yang besar. Keuntungan bukanlah matlamat asas Mawaddah.

Read more