Pilihanraya kali ini sememangnya menyaksikan perlawanan sengit bukan saja melibatkan dua blok tersebut tetapi turut membabitkan pihak-pihak dari kuasa ketiga. Penyertaan kuasa ketiga pada mulanya dilihat akan memberi impak yang kuat namun apa yang berlaku hanyalah, satu jentikan kecil buat BN dan PR.
Dalam PRU13 ini, kuasa ketiga bukanlah dilihat kepada calon-calon bebas kerana calon-calon Bebas tidak mempunyai sebarang struktus organisasi yang jelas. Yang dimaksudkan kuasa ketiga ialah parti-parti yang tidak menyertai BN atau PR, tetapi turut berentap merebut kerusi dalam pilihanraya ini.
Untuk PRU13, kuasa ketiga yang ada ialah Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA), State Reform Party (STAR),Parti Cinta Malaysia (PCM), Sarawak Workers Party (SWP), Barisan Jemaah Islamiah SeMelaysia (BERJASA), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Sabah Progressive Party (SAPP).
PSM WAJAR SERTAI PR
Walaupun PSM merupakan parti yang pro-PR malah bertanding di Parlimen Sungai Siput dan DUN Kota Damansara, Selangor menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun tindakan PR yang eggan mengalah di DUN Jelapang, Perak serta DUN Semenyih, Selangor menyebabkan PSM bertanding atas logo sendiri di dua DUN tersebut menentang BN dan PR.
PRU13 dilihat ujian buat PSM bagi 3 kerusi DUN berikutan terpaksa bertanding menentang rakan PR mereka. Walaupun di DUN Kota Damansara, PSM bertanding atas tiket PKR dan diisytihar sebagai wakil PR yang sah, namun tindakan PAS yang meletakkan calon nyata memecah undi. Hasilnya, PR hilang kerusi tersebut bukan kerana kekuatan UMNO, tapi perpecahan undi PR. Jika digabungkan, memang PR sudah menang di DUN Kota Damansara.
Hal yang sama berlaku di DUN Semenyih apabila PKR atau PSM bertembung sesama sendiri yang memberi kemenangan percuma buat BN.PSM hanya mampu tersenyum di Parlimen Sungai Siput berikutan kejayaan mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,793 undi mengalahkan MIC dan calon Bebas. Di DUN Jelapang, Perak, kekuatan DAP menyebabkan PSM gagal dalam usaha menawan kerusi tersebut.
Dari aspek undi yang diperolehi oleh PSM serta keakraban PSM bersama PR melalui kerjasama peringkat negeri dan penyertaan PSM dalam gerak kerja PR, wajar untuk PSM dan PR duduk berbincang serta mempertimbangkan penyertaan PSM ke dalam PR. Ya, PSM memang terguris dengan PAS apabila isu sosialisme ditimbulkan PAS dalam memberi sebab penyertaan PAS di DUN Kota Damansara namun isu tersebut boleh dibincang secara tertutup.
BERSAMA, PCM DAN KITA: MASIHKAH ADA SINAR?
Dua buah parti yang kurang menyengat dalam kalangan kuasa ketiga ialah Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA), Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).
![]() |
| Prestasi PRU13 Parti BERSAMA |
![]() |
| Prestasi PRU13 Parti KITA |
Keputusan PRU13 menunjukkan BERSAMA dan KITA hilang semua deposit di kerusi yang mereka tandingi malah undi yang diperoleh nyata tidak memberi kesan langsung. BERSAMA mencuba nasib buat pertama kali bertanding di Semenanjung Malaysia iaitu di Kedah (Parlimen Alor Setar dan DUN Bakar Bata) namun saingan nyata tak memberi kesan. KITA pula yang diasaskan oleh bekas pemimpin PKR & UMNO, Zaid Ibrahim, dilihat hilang semangatnya dan dilihat tiada hala tuju.
Bagi PCM, ramai melihat mereka mampu memberikan saingan buat DAP di Pulau Pinang. Malah PCM dilihat lebih popular berbanding Parti Gerakan dan MCA di Pulau Pinang. Usaha PCM telah bermula sejak berakhirnya PRU12 dahulu untuk menentang DAP. Malah banyak pusat khidmat masyarakat dibuka.
![]() |
| Prestasi PRU13 PCM |
Usaha mereka walau bagaimanapun dilihat tidak berbaloi. PCM kalah teruk di tangan DAP. Hal ini mengulangi sejarah PCM di Sarawak dalam pilihanraya negeri 2011 yang lalu. Kekalahan ini menyebabkan PCM menutup semua pusat khidmat masyarakat mereka.
BERJASA BERI SAINGAN HEBAT TAPI....
Penglibatan semula Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA) dalam PRU13 merupakan kemunculan semula selepas 14 tahun menyepi. Malah tindakan jemaah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang bertanding atas tiket BERJASA dilihat menaikkan kembali imej parti tersebut.
Dalam PRU13, BERJASA telah menetapkan untuk bertanding di kawasan majoriti Muslim yang mana BN dan PR meletakkan calon bukan Islam. Walaupun mendapat undian yang 'agak memberangsangkan' dengan undian melebihi seribu undi, namun BERJASA tetap hilang deposit di semua kerusi tersebut.
![]() |
| Prestasi PRU 13 BERJASA |
Strategi BERJASA dilihat kurang menepati citarasa bangsa Malaysia. Pemecahan calon berdasarkan agama dan bangsa dilihat kurang memberi impak dalam era moden sekarang. Malah BERJASA juga sering memberikan hujah tanpa fakta yang jelas dalam menghentam DAP serta sekutu DAP, PAS.
Saingan BERJASA hanya dilihat mampu memecahkan undi Muslim sahaja. Kejayaan BERJASA ialah di Parlimen Cameron Highlands apabila berjaya menghalang PR melalui DAP menawan kerusi tersebut seterusnya memberi kemenangan kepada MIC.
Kehadiran BERJASA sememangnya memecah undi bagi PR, bukan BN. Malah serangan bertubi-tubi proksi BERJASA, ISMA, ke atas DAP menyerlahkan lagi peranan BERJASA. Malah sejarah BERJASA yang ditubuhkan ketika konflik PAS sekitar 1977 dahulu seolah-olah mewarisi sikap lamanya tersebut walaupun BERJASA pernah bersama PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada tahun 1990.
KUASA KETIGA SABAH & SARAWAK PUNCA BN MENANG BEBERAPA KERUSI
Bagi situasi di Sabah dan Sarawak, kewujudan kuasa ketiga yang banyak memang memberi kesan kepada PR untuk menumbangkan BN.
Di Sarawak, peranan State Reform Party (STAR) bagi mengasak kekuatan BN dan PR kurang menyerlah. Malah semua calon STAR kalah dan hilang deposit di Sarawak. Kehadiran semula STAR di Sarawak kurang sengatnya.
Bagi Sarawak Workers Party (SWP), tentangan SWP di 6 buah kerusi Parlimen milik Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada awalnya dilihat begitu gah dan mampu menumbangkan PRS. Namun sebaliknya berlaku pada hari pengundian 5 Mei 2013. SWP kalah di semua kerusi mereka malah hilang deposit di 3 kerusi parlimen mereka tandingi. Pukulan SWP bukan saja tidak menghasilkan tsunami, malah ombak pun tidak terhasil.
Situasi di Sabah sedikit berbeza. Kuasa ketiga di Sabah iaitu STAR dan Sabah Progressive Party (SAPP) dilihat memberi tentangan. Namun pertandingan sesama sendiri antara STAR, SAPP dan PR sebenarnya menguntungkan BN.
Kesatuan STAR, SAPP dan PR jika terhasil, sudah pasti mampu memenangkan lebih banyak kerusi. Bagi peringkat DUN, STAR dilihat kurang bersedia berbanding PR untuk menguasai Sabah. Manakala SAPP juga dilihat masih terlalu awal untuk menjadi kuasa yang kuat di Sabah.
Jawapan terbaik untuk kemenangan di Sabah,PR dan STAR serta SAPP perlu bergabung dalam satu pakatan. Ketepikan soal perbezaan jika mahu Sabah menjadi satu platform yang maju.













